PERBINCANGAN BERSAMA WAKIL INDUSTRI BERKAITAN SEMAKAN SEMULA KURIKULUM PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA SAINS GUNAAN (TEKNOLOGI BAHAN) DENGAN KEPUJIAN

Semakan kurikulum program adalah proses penambahbaikan sesuatu program akademik yang perlu dilakukan pada tempoh tertentu dan dilaksanakan secara sistematik. Tujuan utama proses ini dilaksanakan bagi memastikan kurikulum sedia ada adalah terkini, kekal relevan dan graduan memenuhi permintaan majikan. Antara yang terlibat dalam proses semakan kurikulum program adalah wakil industri selain daripada itu proses ini melibatkan pemeriksa luar, alumni, pelajar sedia ada dan pemegang taruh lain.

Baru-baru ini perbincangan telah diadakan melibatkan pensyarah yang mengajar Program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Bahan) Dengan Kepujian dan wakil Industri yang memiliki bidang kepakaran dalam kursus Teknologi Bahan. Wakil industri yang terlibat adalah Silterra Sdn. Bhd, Rohm Wako Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd., Hicom Teck See Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Perak, WHD Global Engineering Sdn. Bhd., dan Agensi Nuklear Malaysia. 

Walaubagaimanapun, perbincangan ini berlaku di atas talian bermula pada 25 November 2020 memandangkan pandemic COVID-19 yang melanda Malaysia yang menyebabkan berlaku Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) fasa ke-2 mulai 21 November sehingga 6 Disember 2020. Hasil perbincangan ini adalah bagi memastikan semakan kurikulum adalah sejajar dengan keperluan dan permintaan industri dan seterusnya program Teknologi Bahan mampu melahirkan pelajar yang berkualiti setiap masa. Selain itu, tujuan utama proses ini adalah sebagai pematuhan kepada Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysia Qualifications Framework, MQF) bagi program akademik.

Dr Arlina Ali